Ramai yang musykil bila saya kata makan 2 keping roti masa sarapan menyebabkan lebih susah kurang berat badan berbanding nasi lemak sebungkus kecil atau pun beberapa biji telur separuh masak. Mungkin kerana perbandingan dari segi kalori sudah tentunya 2 keping roti lebih kurang kalorinya. Mungkin saya patut mengulas lebih terperinci macam mana 3-4 biji telur atau sebungkus kecil nasi lemak lebih berkesan sebagai diet berbanding 2 keping roti masa sarapan.
1. Lemak Lebih Mengenyangkan.
2 keping roti yang diambil pada pukul 7.30 pagi akan membuatkan anda lapar kembali pada pukul 10.30pagi . Ini kerana kesan daripada "withdrawal" karbohidrat dan gula membuatkan anda tak keruan pada waktu kerja. Anda perlukan lagi gula dan kafein untuk menyokong ketagihan gula dan kelemahan adrenal anda. Kesannya anda akan makan lebih kerap dan mengalami kerap lapar yang hanya akan dapat dilegakan dengan makan lagi. Ini berbeza berbanding 3-4 biji telur separuh di makan bersama butter dan secawan kopi tanpa gula ditambah minyak kelapa. Rasanya pun sedap. Lemak menyebabkan kekenyangan yang berpanjangan dan menjana tenaga dari kalori secara beransur-ansur. Karbohidrat terutamanya karbohidrat yang diperhalusi (refined) mempunyai kadar penyerapan yang sangat cepat. Kalori berlebihan yang tidak digunakan akan disimpan sebagai lemak di dalam badan. Tips: Bersenam sebelum makan pagi. Senaman waktu lapar meningkatkan hormon tumbesaran (growth factor) dan mempercepatkan pembakaran lemak. Senaman juga mengurangkan selera makan dengan meningkatkan peptide yy (hormon mengurangkan nafsu makan) dan mengurangkan hormon ghrelin (hormon meningkatkan nafsu makan). Kalori berlebihan daripada makanan terutama gula dan karbohidrat diperhalusi juga akan dibakar mengurangkan penyimpanannya sebagai lemak jika tidak digunakan. 2. Keinginan Makan Tidak Terkawal. Leptin Dan Insulin. Gula dan karbohidrat diperhalusi meningkatkan insulin di dalam darah (hyperinsulinemia). Insulin merupakan hormon yang bertanggungjawab mengurangkan kadar gula dalam darah. Ia akan meningkat di dalam darah terutamanya selepas makan makanan manis ataupun mengandungi karbohidrat. Pesakit kencing manis ialah antara yang mengalami hyperinsulinemia kronik (berpanjangan). Insulin tinggi menyebabkan lemak diangkut dan disimpan ke dalam sel badan. Ini sebabnya ramai pesakit kencing manis yang mencucuk insulin setiap hari senang menjadi obes. Ini juga sebab yang menyukarkan pengurangan berat badan oleh pesakit yang mengambil insulin. Orang kurus kebiasaanya rendah insulin dan orang gemuk lebih insulin. Menurut Profesor Robert H. Lustig yang merupakan pakar perunding endokrinologi kanak-kanak, hyperinsulinemia menyebabkan masalah rintangan leptin (leptin resistance). Rintangan leptin akan menyebabkan nafsu makan tidak dapat dikawal dan masalah makan secara berlebih-lebihan. Makanan rendah gula dan karbohidrat diperhalusi akan mengurangkan insulin darah dengan berkesan. Ini akan meningkatkan sensitiviti leptin menyebabkan anda kenyang dengan hanya makan sedikit sahaja. Tips: Kurangkan makanan manis dan tinggi karbohidrat diperhalusi sebagai sarapan. Jangan abaikan lemak di dalam sarapan pagi. Saya syorkan telur (separuh masak, goreng, scrambled), minyak kelapa, butter, minyak zaitun. Nasi lemak, nasi dagang, nasi kunyit (pulut kuning) juga merupakan sarapan pantai timur yang menyelerakan dan berkhasiat namun kuantitinya perlu lah sederhana kerana kandungan karbohidratnya. Anda juga boleh SKIP saja breakfast! Makan bila lapar sahaja dan berhenti sebelum kenyang. Kenapa perlu breakfast sekiranya tidak lapar? Saya akan huraikan lebih lanjut kemudian ya. Kesimpulannya pengiraan kalori bukan segalanya dalam mengurangkan berat badan malah anda boleh kurang berat badan tanpa menghiraukan kalori. Caranya pilih makanan yang sihat yang tinggi kandungan nutrisinya yang SESUAI DENGAN KEPERLUAN DAN TAHAP KESIHATAN ANDA. Pengurangan kalori bagaimanapun merupakan kunci kepada kesihatan optimum serta mampu mengembalikan keremajaan anda.Berpuasa juga merupakan salah satu daripada kaedah mengurangkan berat badan yang paling berkesan. Di dalam artikel akan datang, saya akan terangkan lebih lanjut kemudian macam mana caranya mendapat manfaat dengan maksimum daripada berpuasa dari segi kesihatan dan pengurangan berat badan. Moga perkongsian bermanfaat untuk semua Insha Allah. |
PERUBATAN FUNCTIONALArtikel kesihatan ini ditulis khusus kepada mereka yang inginkan perubahan positif kepada kesihatan diri dan keluarga. Semoga bermanfaat. KATEGORI
All
Archives
June 2018
|